Reset:   W3c  |   Ikuti Kami : Carian..

Program Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran IPT

PENGENALAN

Universiti Utara Malaysia telah mewajibkan setiap tenaga Akademik yang dilantik mulai 1 Januari 2001 menghadiri Program Pensijilan Pengajaran IPT sebagai salah satu syarat bagi tujuan pengesahan jawatan. Walau bagaimanapun, selaras dengan dasar untuk meningkatkan kemahiran tenaga pensyarah baru di IPT, Jabatan Pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama semua IPTA telah menyediakan Modul Kursus Asas Pengajaran dan Pembelajaran Pensyarah Baru IPTA yang diwajibkan kepada semua pensyarah baru di IPTA mulai tahun 2005.
Modul baru ini merupakan pemantapan modul yang sedia ada di dalam Program Pensijilan yang telah dilaksanakan oleh UUM mulai tahun 2001.

UUM telah membuat beberapa pengubahsuaian selaras dengan keperluan UUM dan kursus ini dinamakan Program Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran IPT. Pelaksanaan program adalah menggunakan modul 2005 melalui sistem Pembelajaran Berterusan Universiti (PBU).

FALSAFAH DAN MATLAMAT

Kecekapan, keberkesanan dan penambahbaikan yang berterusan adalah berkait rapat dengan latihan dan kualiti latihan yang diikuti oleh kakitangan akademik. Atas keyakinan inilah Program
Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran IPT dirancang bagi mengorientasikan pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terhadap keperluan kecekapan dan keberkesanan pengajaran yang sistematik, selaras dengan keperluan dan kecemerlangan profesion dan tanggungjawab seorang ahli akademik.

Pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dimiliki oleh pensyarah dalam pengetahuan isi kandungan tidak memberi makna kepada pelajar sekiranya ilmu itu tidak dapat disampaikan secara berkesan
melalui pengetahuan pedagogikal. Oleh itu program ini bertujuan memberi latihan yang sistematik kepada pensyarah baru dalam pengajaran dan pembelajaran agar salah satu fungsi pensyarah dapat dilaksanakan secara efektif.

OBJEKTIF

Program ini bertujuan menghasilkan pensyarah-pensyarah yang:

  1. berkemampuan memberi pengajaran dengan baik serta berkesan dalam bidang ilmu yang terdapat di UUM dan IPTA.
  2. mempunyai sikap positif terhadap profesion akademik dengan memberi perhatian serta tanggungjawab terhadap pelajar-pelajar di IPTA.
  3. dapat menyesuaikan diri dengan keadaan-keadaan yang wujud di IPTA.
  4. dapat memulakan perubahan serta menangani cabaran dalam bidang pendidikan tinggi serta memberi sumbangan terhadap perkembangan UUM dan IPTA.
  5. dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dengan mengaplikasikan teknologi multimedia terkini.
  6. boleh menjalankan aktiviti-aktiviti penilaian dan ujian secara teratur dan berkualiti.
  7. mempunyai budaya penerokaan positif untuk menjalankan tugas-tugas lain seperti penyelidikan, penerbitan dan perundingan.
  8. boleh membimbing pelajar mereka bagi penambahbaikan potensi diri.
  9. dapat mengenal pasti struktur dan tugas-tugas jawatan utama kolej dan bagaimana dapat menyumbang dalam pembangunan kolej.

KAEDAH PELAKSANAAN

Maklumat Program

Secara amnya program ini mempunyai dua (2) fasa iaitu Fasa 1, (pendekatan bermodul dan pembelajaran kendiri) dan Fasa 2 (praktikum ataupun Amalan Instruksional).
Jumlah jam bagi Fasa 1 adalah 264 jam iaitu pendekatan bermodul (bersemuka) selama 65 jam dan pembelajaran kendiri yang dilaksanakan di luar waktu bersemuka selama 198 jam. Bagi Fasa 2, jumlah jamnya adalah 83 jam iaitu 42 jam bagi Amalan Instruksional dan 41 jam untuk pembelajaran kendiri.

Pelaksanaan Program

Fasa 1

Peserta didedahkan secara intensif kepada teori-teori berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Fasa ini adalah selama 61 jam secara bersemuka iaitu secara kuliah di dalam bilik bengkel yang akan diadakan selama 12 hari bekerja. Peserta juga perlu menyiapkan tugasan berdasarkan topik-topik tertentu yang melibatkan aktiviti pembelajaran kendiri di luar bilik bengkel.

Tujuh (7) modul yang terdiri daripada 28 topik akan dibincangkan. Terdapat enam (6) tugasan yang perlu dilengkapkan oleh setiap peserta dalam Fasa 1.

Fasa 2

Peserta perlu melengkapkan keenam-enam modul dalam Fasa 1 dengan jayanya sebelum boleh mengikuti Fasa 2 dan perlu melengkapkan satu (1) tugasan.

Di dalam fasa ini, peserta akan menjalani Amalan Instruksional untuk memenuhi sebahagian daripada syarat mendapatkan sijil. Setelah mengikuti Fasa 1 dan didedahkan dengan teori-teori
pengajaran, para peserta sepatutnya berpotensi untuk mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara lebih berkesan. Peserta diperlukan menjalani Amalan Instruksional
selama 42 jam iaitu di dalam tempoh satu semester pengajian. Sekiranya peserta tidak dapat menjalani Amalan Instruksional, atas sebab-sebab yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Pensijilan, dalam sesuatu semester berkenaan, maka peserta perlu menjalani Amalan Instruksional pada semester berikutnya.

Seorang mentor akan dilantik untuk membimbing dan menyelia setiap peserta di sepanjang menjalani Amalan Instruksional. Peserta akan dicerap sebanyak lima (5) kali iaitu tiga (3) kali oleh mentor, sekali (1) oleh PNC/wakil PNC dan sekali (1) oleh rakan sebaya. Setiap pencerapan mewakili 15% markah kecuali pencerapan oleh Rakan Sebaya yang tidak mewakili sebarang markah. Secara keseluruhannya, markah bagi pencerapan oleh mentor dan Dekan/wakil adalah 60%. Tujuan Amalan Instruksional ini adalah sebagai satu proses refleksi untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran. Peserta juga perlu menyediakan portfolio pengajaran di dalam Fasa 2. Peserta perlu membuat portfolio pengajaran sebaik mungkin, bahagian ini merangkumi 30%, iaitu Catatan Amalan Refleksi (5 refleksi) – 15% dan Laporan Keseluruhan Portfolio – 15%. Peserta juga dikehendaki menyediakan kajian tindakan yang membawa 10%. Tugasan kajian tindakan melibatkan Modul 7. Markah keseluruhan bagi Fasa 2 adalah 100%. Peserta perlu melengkapkan kedua-dua fasa dengan jayanya.

PENGANUGERAHAN SIJIL

Peserta diwajibkan menghadiri dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi kedua-dua fasa bagi dianugerahkan sijil. Kehadiran 100% di Fasa 1 adalah merupakan syarat utama untuk
layak mengikuti Fasa 2. Sekiranya peserta tidak dapat memenuhi mana-mana kursus bagi modul-modul dalam Fasa 1, kecuali dengan alasan yang munasabah dan diperakui Jawatankuasa Pensijilan, peserta perlu mengikuti semula keseluruhan modul tersebut.

Jadual 1 menunjukkan julat markah bagi
program ini.

Jadual 1

Tahap

Markah (%)

Cemerlang

85 – 100

Lulus

70 – 84

Gagal

0 – 69

 

 

Peserta perlu mencapai sekurang-kurangnya tahap (Lulus) bagi kedua-dua fasa untuk dianugerahkan sijil. Sekiranya peserta gagal di dalam mana-mana fasa maka peserta perlu mengulang semula fasa tersebut.

Sijil yang diberikan adalah sebahagian daripada syarat untuk memohon pengesahan jawatan ke pensyarah tetap di UUM.

 

Untuk keterangan lanjut,sila hubungi Norhidayah Kaharuddin (04-9284690) / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

 

 

footer

Kiraan Pengunjung

Hari Ini0
Kelmarin9
Minggu Ini19
Bulan Ini24
Jumlah Keseluruhan507

20 August 2017

Hubungi Kami

  utlc[at]uum[dot]edu[dot]my
  04-928 4697 / 04-928 4698
  04-928 4702
  Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC),
Universiti Utara Malaysia.
06010 UUM Sintok,
Kedah, malaysia