UUM ONLINE: 6th Inspirational Scholar Symposium (ISS 2021) anjuran Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) selama dua hari pada 16 dan 17 November lalu menjadi medan kepada ahli akademik dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi penemuan terkini dan amalan inovatif terbaik masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran.
Persidangan yang dianjurkan secara maya menerusi UTLC Virtual Conference Platform itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.
Dalam ucapannya berkata, UUM sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran sebagai asas kepada semua proses akreditasi.
Menurutnya, UUM sentiasa terlibat di dalam aktiviti bersama komuniti dan pihak industri untuk meningkatkan kerelevenan serta keterlihatan universiti yang membawa impak positif kepada masyarakat selaras dengan moto ‘ILMU BUDI BAKTI’.
Katanya, persidangan seperti ISS itu akan meraikan kepelbagaian idea dan inovasi dalam kalangan penyelidik dan para sarjana yang diharapkan dapat dipindahkan untuk kecemerlangan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sementara itu, Pengarah UTLC, Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim berkata, persidangan intelektual bertemakan ‘Strengthening Teaching and Learning Beyond the New Norm’ berjaya membentangkan sebanyak 65 kertas kerja daripada enam trek persidangan iaitu Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif, Pembangunan Kurikulum, Motivasi, Service Learning dan Teknologi Pembelajaran.
Menurutnya, ISS 2021 bukan hanya sekadar untuk memenuhi KPI peribadi, tetapi haruslah bergerak melangkau norma yang mempengaruhi trajektori pembelajaran yang boleh mengembangkan transformasi pengajaran dan pembelajaran untuk menggalakkan pembangunan pelajar sebagai pelapis pemimpin masa hadapan.
“Di dalam membangunkan pelajar sebagai pemimpin masa hadapan, kita perlu fokus kepada pembangunan insan melalui pelbagai disiplin pengajian yang telah diamanahkan.
“Persidangan ini juga adalah sebagai wadah untuk mencetus semangat ahli akademik sebagai sarjana sebenar yang berusaha sedaya upaya menegakkan integriti akademik di dalam pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Semoga kita tidak tergelincir daripada apa yang diamanahkan kepada kita,” katanya.
Ucaptama ISS 2021 telah disampaikan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tan Sri Prof. Emeritus Dzulkifli Abdul Razak dan juga Pengarah QUT Academy of Learning and Teaching (QALT), Queensland University of Technology, Australia, Prof. Dr. Abby Cathcart.
Selain itu, persidangan ini juga turut melibatkan sesi forum, bengkel, dan pembentangan kertas kerja.