SULAM potensi lahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan

 

 

ALOR STAR – Pelaksanaan SULAM berpotensi melahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan tentang isu semasa, setempat dan prihatin dengan keperluan masyarakat, serta proaktif dalam penghasilan inovasi sosial kepada penyelesaian masalah berdasarkan ilmu yang dipelajari demi menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Dato’ Prof. Dr. Norzaini Azman berkata, pelaksanaan aktiviti berasaskan komuniti di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ini telah bertunas sejak 2019.

“Pendekatan SULAM yang berimpak tinggi dengan Projek Pembangunan Komuniti, Eko Warisan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi ini telah bermula dengan penglibatan 200 pelajar pelbagai bidang dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama KEJORA; Pejabat Daerah Kota Tinggi; dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang ketika itu,” ujarnya ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan SULAM Kali Kedua, Inspirational Scholar Symposium Kali Kelapan dan SULAM Innovate 2023 (SULAM Ideation, Innovation And Invention Challenge) di Hotel Raia Alor Star pagi ini.

Katanya, melalui permulaan projek yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang itu pastinya mampu memberikan impak positif kepada komuniti setempat di peringkat IPT tidak mengira samada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Politeknik mahupun kolej komuniti.

Menurut beliau kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang bersifat tradisional yang terbatas kepada aktiviti di dalam ruang lingkup bilik kuliah kini juga perlu diurus lebih kreatif dan inovatif seperti kaedah SULAM.

Dr Norzaini menambah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan elemen penting iaitu pembelajaran aktif, perkhidmatan kepada masyarakat dengan nilai tambah iaitu pemindahan ilmu daripada IPT dan pelajar kepada komuniti seterusnya daripada komuniti kepada pelajar dan IPT perlu dilaksanakan dengan berstruktur untuk penambahbaikan ekosistem setempat dan mengeratkan hubungan IPT dan komuniti.

Moga SULAM yang telah diperluaskan melalui Community Resilience Experiential Learning (CARE) ini akan melahirkan pelajar yang bukan sahaja berjaya memiliki ijazah dalam pengajian mereka masing-masing malah ada nilai tambah dengan pengalaman dengan tugasan yang mereka lakukan melalui pembentangan tugasan dan lain-lain yang mempunyai nilai dan impak daripada realiti dunia sebenar.

Pastinya KPT mengharapkan usaha ini menjadi jambatan penting menuju kecemerlangan dan merealisasikan visi Masyarakat Madani yang turut melatih kecekapan akademik pelajar, membentuk nilai-nilai kewarganegaraan, tanggungjawab sosial, kepemimpinan dan aspek utama pembentukan Masyarakat Madani yang melibatkan pelajar dalam projek komuniti ke arah menyuarakan pembangunan berteraskan keadilan dan kelestarian.

Terdahulu dalam ucapan aluan, Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan mengalu-alukan penganjuran persidangan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) dengan kerjasama Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Jawatankuasa Strategik SULAM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, persidangan tiga hari ini yang disertai oleh para sarjana, ahli akademik, pihak industri, dan pelajar dari pelbagai program ini berkumpul untuk berkongsi idea, pengalaman, pandangan, hasil penyelidikan dan amalan terbaik berkaitan pelaksanaan SULAM serta inovasi pengajaran dan pembelajaran.

SULAM atau Service Learning Malaysia-University for Society merupakan satu konsep yang amat penting dalam dunia pendidikan kerana SULAM bukan sekadar program sivik atau khidmat masyarakat biasa yang bersifat “one-off” tetapi lebih kepada pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan elemen-elemen penting.

Moga usaha untuk melahirkan generasi pelajar yang berpengetahuan tentang isu semasa dan setempat, prihatin dengan keperluan-keperluan masyarakat, dan proaktif dalam menghasilkan inovasi dalam penyelesaian masalah berdasarkan ilmu yang dipelajari demi menyumbang kepada kesejahteraan bersama ini akan mencapai objektifnya nanti.

Sempena persidangan ini Dato’ Prof. Dr. Norzaini turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Khas SULAM Innovate 2023 kepada pasukan dari Universiti Malaysia Sarawak yang berjaya membawa pulang Trofi, wang tunai RM3000 dan sijil.

Pemenang-pemenang lain ialah bagi kategori Projek SULAM Terbaik, Projek Konsep SULAM Terbaik, Pertandingan Poster SULAM, dan Anugerah Kertas Kerja Terbaik bagi Persidangan 2nd SULAM dan 8th ISS.