All News

PKPD, WARGA UTLC KOMITED JAYAKAN IUCEL 2021

UUM ONLINE: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diisytiharkan bagi Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula 13 hingga 26 Jun 2021 tidak mematahkan semangat warga Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) untuk menjayakan penganjuran International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2021.

Karnival yang berlangsung pada 15 – 16 Jun 2021 telah menerima penyertaan sebanyak 321 produk inovasi e-Pembelajaran dan Teknologi Pembelajaran dari kalangan Pensyarah, Pendidik, Guru, dan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Matrikulasi serta Sekolah (rendah dan menengah).

Buat julung kalinya, IUCEL edisi tahun 2021 ini dilaksanakan secara atas talian. Karnival yang bertemakan “Leading Innovation Towards Digitalized Community” sangat bertepatan dengan
situasi masa kini dan UTLC menerajui inovasi dengan mengendalikan pertandingan secara atas talian menerusi IUCEL 2021 Virtual Competition Platform.

Pengarah UTLC, Prof. Dr Fauziah Abdul Rahim berkata, meskipun terpaksa menguruskan acara maya ini daripada rumah masing-masing serta berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan infrastruktur seperti capaian internet, kekurangan peralatan, dan komunikasi fizikal, semangat kerja berpasukan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua warga UTLC amat membanggakan.

“Alhamdulillah, syabas dan terima kasih semua UTLCian yang komited dalam memberikan yang terbaik bagi menjayakan IUCEL 2021. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Mantan Pengarah UTLC, Prof. Madya Dr Muhamad Shahbani Abu Bakar yang menjadi Penasihat Teknikal bagi merealisasikan platform Virtual Competition ini”, katanya.

Sementara itu, pelajar praktikum di UTLC, Cik Hana Zulaikha dan Cik Aida Farzana berkata, mereka amat bertuah kerana berpeluang terlibat dalam menjayakan acara besar ini.

“Saya amat teruja dapat melibatkan diri dalam IUCEL 2021 dan seronok dapat sama-sama membantu dan menyelesaikan permasalahan bersama”, kata Hana Zulaikha.

“Melalui IUCEL 2021 ini saya dapat mempelajari sesuatu yang baru dan ia memberikan pengalaman yang amat bermakna. Terima kasih UTLC atas peluang dan kepercayaan untuk saya terlibat sama”, kata Aida Farzana.

Penganjuran IUCEL ini juga mendapat reaksi positif dari kebanyakan peserta. Muhammad Ibnur Sinar bin Hamizi, dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman berkata, IUCEL 2021 memberikan beliau pengalaman dan ilmu baru sebagai pelajar IPG yang berpeluang membentangkan hasil inovasi secara atas talian kepada para juri.

“Melalui platform ini juga, para peserta berpeluang melawat booth inovasi peserta lain seperti dalam pameran secara fizikal. Tahniah pihak penganjur”, kata beliau.

IUCEL 2021 yang dihoskan oleh UTLC adalah karnival tahunan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Majlis e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA). Penganjurannya pada tahun ini turut mendapat tajaan daripada OpenLearning Global Malaysia Sdn. Bhd., AceTeam Networks Sdn. Bhd., dan e-One Technology