All News

KARNIVAL MAYA IUCEL 2021 TERIMA 321 PRODUK INOVASI E-PEMBELAJARAN

KARNIVAL MAYA IUCEL 2021 TERIMA 321 PRODUK INOVASI E-PEMBELAJARAN

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terpilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran International University Carnival on e-Learning (IUCEL) Edisi 2021 yang diadakan selama dua hari bermula 15 Jun lalu.
Karnival anjuran bersama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Majlis e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) itu bertujuan untuk mempamerkan bahan pembelajaran dan pemudahcaraan yang berinovasi dan berkualiti.
Di samping itu, IUCEL 2021 juga bertujuan menyediakan platform untuk perkongsian amalan terbaik dan mengiktiraf usaha ahli akademik serta pelajar dalam menghasilkan produk yang berkualiti untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan.
Penutup karnival telah dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Mansor Othman dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar serta Pengerusi MEIPTA, Dr. Nurbiha A Shukor.
Menurut Dato’ Dr. Mansor, IUCEL adalah salah satu peluang yang diberikan kepada golongan pendidik dan pelajar untuk mempamerkan, berkongsi dan menggabungkan idea-idea inovatif.
“Kita semua mempunyai peluang untuk bersiap sedia untuk hari esok serta menjadi agen perubahan yang membawa kita ke masa hadapan.
“Saya mendoakan agar pengalaman maya dalam IUCEL 2021 ini memberi manfaat yang sangat berharga dan menggembirakan semua pihak”, katanya.
Karnival secara maya itu telah menerima penyertaan sebanyak 321 produk inovasi dari kalangan pensyarah, pendidik, guru dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Matrikulasi serta sekolah (rendah dan menengah).
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim berkata, penganjuran IUCEL 2021 yang bertemakan ‘Leading Innovation Towards Digitalized Community’ sangat bertepatan dengan situasi pada masa kini sama ada di peringkat nasional mahupun global yang memaksa pelbagai pihak merangkul, menggunakan dan menginovasi cara bekerja, seterusnya menjadi sebahagian daripada komuniti digital.
“Alhamdulillah, IUCEL 2021 telah berjaya dianjurkan secara atas talian menerusi IUCEL 2021 Virtual Competition Platform. Terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan karnival ini”, katanya.
Sebanyak empat (4) kategori dipertandingkan iaitu Invention, Innovation and Design On E-Learning (IIDEL), Pertandingan Inovasi Pengajaran bagi Guru (PIP – Teachers), Pertandingan Inovasi Pembelajaran bagi Pelajar Sekolah Menengah (PIP – Secondary School Students), dan Pertandingan Inovasi Pembelajaran bagi Pelajar Sekolah Rendah (PIP – Primary School Students).
IUCEL 2021 juga mempertaruhkan dua belas (12) Anugerah Khas yang mengiktiraf usaha individu dan organisasi melalui projek yang memberi impak luar biasa terhadap teknologi Pembelajaran dan e-pembelajaran.
Anugerah Khas tersebut ialah Primary School E-Learning Award, Secondary School E-Learning Award, Best E-Learning Teacher Award, Best E-Learning Facilitator Award, Best Trend-Setter Award, Outstanding E-Learning Mobile Apps Award, Outstanding E-Learning Product/ Project Award, Outstanding Open Educational Resources (OER) Award, Massive Open Online Course (MOOC) Award, Best E-Learning Management System Award, Outstanding Virtual Event Platform Award, dan Higher Education E-Learning Maestro Award.
Selain pertandingan dan pameran produk inovasi, turut diadakan juga sesi ucap utama oleh Prof. Dr. Abd Karim Alias dari Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk ‘Micro-credential: Obstacles and Challenges of Developing Digital Community’, bengkel kendalian OpenLearning Global (Malaysia) Sdn. Bhd. dan sesi Industrial Talk bersama AceTeam Networks Sdn. Bhd. dan e-One Technology Sdn. Bhd.