All News

UTLC VIRTUAL CONFERENCE SYSTEM INISIATIF PLATFORM UNTUK PENGANJURAN PERSIDANGAN SECARA MAYA

UTLC VIRTUAL CONFERENCE SYSTEM INISIATIF PLATFORM UNTUK PENGANJURAN PERSIDANGAN SECARA MAYA

UTLC ONLINE: Pada awal 2020, dunia digegarkan wabak Covid-19 dengan Malaysia antara negara yang turut menerima penularan pandemik itu. Berikutan itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac hingga 31 Disember 2020. PKP yang memberi impak kepada amalan norma baharu sedikit sebanyak telah membuatkan kehidupan kita rasa lain. Aktiviti yang sebelum ini dilakukan secara bersemuka telah bertukar kaedah kepada maya.

Begitu juga dengan penganjuran 5th Inspirational Scholar Symposium (ISS) pada tahun 2020.  Selari dengan peralihan revolusi industri IR4.0 yang menuntut supaya masyarakat mampu menyesuaikan diri dengan peralihan seperti yang berlaku terhadap perkembangan teknologi masa kini, ISS 2020 telah dianjurkan secara maya pada 10 – 11 November 2020 menerusi platform UTLC Virtual Conference System.

Pengerusi ISS 2020, Prof. Madya Ts. Dr Muhamad Shahbani Abu Bakar berkata, sistem ini merupakan inisiatif dan cetusan idea Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) dalam menghadapi pandemik Covid-19. Pembangunan sistem ini bermula pada bulan Julai 2020 dan ia mengambil masa hampir empat (4) bulan untuk disiapkan dengan kerjasama syarikat Smartlab Sdn. Bhd.

Menurutnya, sistem yang mensimulasikan penganjuran persidangan seperti persidangan secara fizikal terdiri daripada ruang lobi, dewan utama (main hall), bilik persidangan (virtual room), bilik latihan (workshop virtual room), ruang pameran penaja (exhibitor virtual room), bilik mesyuarat (meeting room), dan ruang iklan (coffee room). Pengguna bebas memasuki mana-mana virtual room dan hanya perlu menekan butang “join video” bagi membolehkan mereka menyertai sesi persidangan atau bengkel yang sedang berlangsung.

ISS 2020 yang bertemakan “Embracing Change, Leading Innovation and Creativity merupakan penganjuran edisi kelima dan julung kalinya diadakan secara maya telah melibatkan 65 orang pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara.

Rata-rata pengguna berpuas hati dengan platform baharu ini. Interface yang baik dan mudah digunakan, sistem yang fleksibel, sistem yang mudah untuk peserta mengakses bahan serta berkomunikasi dengan peserta lain adalah antara reaksi positif daripada peserta persidangan.

Pada persidangan itu, tiga orang pengucap utama telah diundang iaitu Prof. Madya Dr Wan Zuhainis Saad, Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah menyampaikan ucap utama bertajuk “Leading Disruptive Innovation for Engaging Communities”.

Manakala ucap utama kedua dan ketiga telah disampaikan oleh Prof. Dr Zaidatun Tasir dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Dr. Rachel Buchanan dari University of Newcastle, Australia, masing-masing bertajuk “Innovation for Future Learning: Achievements and Challenges” dan “Embracing Diversity and Building Community with Technology”.

Turut diadakan sesi bengkel bertajuk “Successfully Publishing Your SoTL Research” oleh Dr. Amrita Kaur dari Wenzhou-Kean University, China dan bengkel oleh Prof. Dr Abd Karim Alias dari Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk “Harnessing The Power of Social Media for Academic Branding” pada hari pertama persidangan. Sementara itu, Prof. Dr Salleh Abdul Rashid daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut mengendalikan bengkel berkaitan pembangunan bakat pada hari kedua persidangan.

-tamat-