UUM ONLINE: 7th Inspirational Scholar Symposium (ISS 2022) dan Pertandingan Inovasi Pembelajaran 2022 (PIP 2022) anjuran Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) menjadi medan kepada ahli akademik dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi penemuan terkini dan amalan inovatif terbaik masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran.
Persidangan ini dianjurkan secara atas talian menerusi UUM Valley Digital Space selama tiga hari pada 25 – 27 September lalu.
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapan perasmiannya berkata, usaha untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar menyumbang secara signifikan ke arah peningkatan keterlihatan universiti melalui ‘ranking exercises’.
“Kita harus faham bahawa metodologi yang digunakan oleh badan penarafan sebahagiannya bergantung kepada prestasi kita dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Tidak ada cara untuk melarikan diri dari metodologi penarafan ini jika kita ingin mendapatkan keterlihatan di seluruh dunia. Strategi diperlukan untuk memastikan kita terus relevan dalam memenuhi keperluan pelajar pengajian tinggi. Sekian kalinya, kita harus menerima bahawa anjakan paradigma dalam cara kita melihat dan berfikir tentang pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting,” katanya.
Menurut Haim Hilman, penyediaan infrastruktur yang kondusif juga penting untuk memperkasakan pelajar. Di samping itu, untuk memperoleh kecemerlangan akademik yang lebih tinggi, universiti mesti berusaha untuk menjadikan integriti sebagai kayu ukur kepada segala usaha untuk membangunkan sarjana terbilang pada masa depan.
Kata beliau, untuk memastikan universiti berada dalam radar institusi pengajian tinggi terkemuka, seluruh warganya perlu menggalakkan kerjasama ahli akademik dan pentadbir untuk membina ekosistem yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.
Sementara itu, Pengarah UTLC, Prof. Madya Ts. Dr Izwan Nizal Mohd. Shaharanee berkata, tema persidangan tahun ini iaitu ‘Build the Future’ telah dipilih sempena ulang tahun ke-21 penubuhan UTLC sebagai cerminan aspirasi UTLC untuk melonjak ke hadapan dalam merangsang serta menyokong kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, tema itu menekankan pembentukan pendidikan masa depan dengan mengemudi ‘tren’d pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh ketidaktentuan ke arah hasil yang positif dan progresif.
Ujar beliau, persidangan intelektual ini telah berjaya membentangkan sebanyak 40 kertas kerja daripada enam trek persidangan iaitu Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif, Pembangunan Kurikulum, Motivasi, Service Learning, dan Teknologi Pembelajaran.
Ucaptama ISS 2022 telah disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dan juga Pengarah Centre for Teaching, Learning and Pedagogy, Nanyang Technological University (NTU), Singapore, Dr. Preman Rajalingam.
Selain itu, persidangan selama tiga hari ini juga melibatkan pameran 214 produk inovasi pengajaran dan pembelajaran sempena PIP 2022, forum, bengkel dan pembentangan kertas kerja.