All News

“BERSIHKAN PANTAI KITA” TAMBAH BAIK KESELESAAN PELANCONG DI PANTAI MERDEKA

 

 

UUM ONLINE: Pantai Merdeka terkenal sebagai pantai peranginan dan perkelahan bagi penduduk tempatan dan negeri-negeri yang berdekatan seperti Pulau Pinang dan Perak Utara. Pantai ini sentiasa dipenuhi orang ramai pada hujung minggu dan cuti persekolahan. Namun, pengalaman berehat di tepi pantai yang dicemari bekas pembungkus makanan, pinggan dan mangkuk polistirena, cawan dan botol plastik malah sisa lampin pakai buang begitu menyeksakan hingga sukar dikikis daripada ingatan.

Perasaan sakit hati, geram dan kesal bercampur-baur apabila melihat keindahan pantai dicemari oleh sikap masyarakat yang kurang peka terhadap kesan sampah kepada alam sekitar. Hal ini telah menarik perhatian staf di Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia untuk menganjurkan program tanggungjawab sosial bertemakan “Bersihkan Pantai Kita”.

Program “Bersihkan Pantai Kita” yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) ini melibatkan 20 orang peserta yang terdiri daripada 15 orang staf UTLC dan 5 orang staf MPSPK. Program ini dimulai dengan sesi taklimat ringkas oleh Ketua Bahagian Perlancongan MPSPK, En. Mohd Farid bin Ismail. Menurut beliau, sampah pada hari ini tidak banyak memandangkan program diadakan pada tengah minggu. Oleh itu pihak MPSPK mencadangkan supaya aktiviti CSR ini menumpukan kepada aktiviti mengecat wakaf, kerusi dan kemudahan awam.

Para peserta telah dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan mengecat pondok wakaf, kumpulan mengecat kerusi awam, dan kumpulan mengutip sampah sarap di sekitar pantai.

Pengarah Projek, Mahamad Nabawi Mohammad Saad berkata, program seperti ini amat bermakna kepada staf UTLC kerana staf berpeluang untuk menyumbang bakti kepada komuniti di samping menyokong Agenda Kedah Maju 2035 iaitu memperkasakan kawasan hijau di Kedah sebagai ‘Natural Sanctuary’ negara.

Menurut beliau juga, selain membersihkan kawasan persekitaran agar kelihatan lebih ceria dan bersih, program ini juga secara tidak langsung dapat menambah keselesaan pelancong-pelancong yang berkunjung ke Pantai Merdeka.

Garis panduan Pelaksanaan PTG