All News

UTLC BANTU JAYAKAN PERTANDINGAN KUIZ SEJARAH DAN PATRIOTISME TAHUN 2024 PERINGKAT NEGERI KEDAH

sejarah1

UTLC ONLINE: Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 telah berlangsung pada 4 Julai 2024. Pertandingan anjuran Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dengan kerjasama Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Jawatankuasa JIM Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah Berjaya dilaksanakan dengan bantuan teknikal dan sistem daripada Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), UUM.  

UTLC telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program ini dengan menyediakan platform Sintok@UUM Massive Open Online Course (MOOC) untuk proses saringan awal peserta yang melibatkan 193 orang pelajar sekolah menengah dalam negeri Kedah.  Platform yang dibangunkan oleh UTLC ini telah disesuaikan untuk kegunaan proses saringan pertandingan yang melibatkan pengguna yang ramai dalam satu masa.

sejarah2

Menurut Pengarah UTLC, Prof. Madya Ts. Dr Izwan Nizal Mohd. Shaharanee, seramai tujuh (7) orang staf UTLC dari Unit Teknologi Pendidikan telah terlibat bagi menjayakan pertandingan ini. “Penggunaan platform Sintok@UUM untuk penganjuran pertandingan ini diberikan secara percuma sebagai program tanggungjawab sosial UTLC kepada komuniti. UTLC amat berbangga dapat bekerjasama dengan JPN Kedah dan PSM Cawangan Kedah dalam menjayakan pertandingan ini. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus memupuk semangat patriotisme dan meningkatkan pengetahuan sejarah di kalangan generasi muda.”, katanya.

Sementara itu, En. Mahamad Nabawi, Pegawai Teknologi Maklumat di UTLC berkata, melalui platform Sintok@UUM, keputusan saringan dapat dijana dalam tempoh yang singkat. Di samping itu, para peserta dan guru pembimbing juga dapat memuat turun dan mencetak sendiri e-sijil penyertaan masing-masing setelah selesai menjawab soalan-soalan kuiz.

Berdasarkan keputusan saringan awal, lima (5) buah sekolah telah mendapat markah tertinggi dan layak menyertai Pertandingan Akhir Kuiz Sejarah dan Patriotisme, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Maktab Mahmud Alor Setar, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jelutung. Pertandingan Akhir Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 telah berlangsung pada 11 Julai 2024 di Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

-TAMAT-