All News

UTLC BEKERJASAMA DENGAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI KEDAH ANJUR BENGKEL PEMBINAAN JADUAL SPESIFIKASI UJIAN (JSU) DAN ITEM MATA PELAJARAN ASAS SAINS KOMPUTER UNTUK GURU-GURU SELURUH KEDAH

Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia dengan jayanya telah menganjurkan Bengkel Pembinaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) dan Item Mata Pelajaran Asas Sains Komputer (ASK) pada 10 dan 11 Julai 2024 di Future Learning Lab, UTLC. Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pegawai perkhidmatan pendidikan (guru) ASK seluruh negeri Kedah, jurulatih-jurulatih utama (JU) ASK Kebangsaan dan Negeri, serta pegawai-pegawai Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

Program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial UTLC kepada komuniti pendidikan di negeri Kedah, bertujuan untuk memperkasakan guru-guru dengan kemahiran dan pengetahuan terkini dalam pembinaan JSU dan item mata pelajaran ASK.

Selama dua hari bengkel berlangsung, para peserta diberi pendedahan mendalam mengenai teknik dan strategi pembinaan JSU yang efektif serta kaedah pembinaan item yang berkualiti. Dengan bimbingan fasilitator merangkap pensyarah pengukuran dan pentaksiran berpengalaman dari UTLC, iaitu Dr. Nurliyana Bukhari, para peserta turut berpeluang mendapat pendedahan asas pembinaan JSU dan item berdasarkan konteks pengajian tinggi, ujian penanda aras peringkat antarabangsa, pensijilan dan pelesenan profesional, serta beberapa contoh spesifik bagi mata pelajaran ASK. Selain itu, melalui bimbingan JU yang merupakan pakar rujuk mata pelajaran ASK di peringkat Kebangsaan dan Negeri Kedah, para peserta mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran pembinaan JSU dan item berdasarkan ketetapan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan berdasarkan kurikulum dan pentaksiran mata Pelajaran ASK Kementerian Pendidikan yang dipelajari melalui sesi praktikal dan perbincangan kumpulan.

Pengarah UTLC, Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd. Shaharanee menyatakan komitmen UTLC untuk terus menyokong dan memperkasa guru-guru di seluruh negeri Kedah dengan menyediakan platform pembelajaran yang komprehensif dan bermanfaat. Beliau juga berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam bengkel ini dapat diaplikasikan oleh para peserta dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing, seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan di negeri Kedah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran), JPN Kedah, En. Malek Abu Hassan turut dibawa melawat ke beberapa fasiliti UTLC iaitu studio rakaman, studio green screen, bilik C.R.E.A.T.E. di Creative Learning Lab, dan studio lightboard.

UTLC mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk manfaat bersama.