E-Learning Champion:
FUNGSI, TUGAS DAN PETUNJUK PRESTASI
Pusat Pengajaran Pembelajran Universiti
Universiti Utara Malaysia
Definisi e-Pembelajaran
E-Pembelajaran ditakrifkan sebagai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi untuk memudah cara proses pembelajaran dan pengajaran–sebagaimana yang telah digunapakai dalam dasar e-pembelajaran negara (DePAN).
Struktur tanggungjawab berkaitan e-Pembelajaran
Di peringkat Universiti perlu terdapat Jawatankuasa yang membuat dasar dan memantau perlaksanaan e-Pembelajaran. Salah satu peranan Jawatankuasa ini adalah untuk menggalak dan memantau pembudayaan e-pembelajaran dan membangunkan kandungan kursus, selain menyediakan dana bagi menyokong pelaksanaan e-pembelajaran.
Fungsi khusus jawatankuasa ini sebaiknya adalah untuk memastikan pensyarah mempunyai ilmu pedagogi, kemahiran teknologi dan integriti akademik dalam menguruskan e-pembelajaran. Selain itu Jawatankuasa ini perlu juga menyediakan sokongan, motivasi dan ganjaran yang bersesuaian kepada kakitangan yang aktif dalam penggunaan e-pembelajaran atau pembangunan bahan P&P digital.
Untuk melaksanakan agenda tersebut, universiti perlu mempunyai beberapa penyelaras e-pembelajaran atau e-learning champion (ELC) di peringkat fakulti, jabatan atau pusat-pusat pengajian. ELC perlu dilantik untuk bertindak sebagai ejen perubahan dalam membudayakan e-pembelajaran dan membangunkan kandungan kursus.
Struktur tanggungjawab e-pembelajaran sebuah universiti, dalam kaitan dengan DePAN boleh digambarkan seperti dalam Rajah 1.
Rajah 1: Struktur tanggungjawab e-pembelajaran dalam kaitan dengan DePAN
Definisi dan Ciri seorang ELC
ELC ditakrif sebagai pakar rujuk tentang sebarang isu e-pembelajaran di peringkat pelaksana. Seorang ELC hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:
- Berkemahiran dalam e-pembelajaran
- Sanggup berkongsi kemahiran
- Mampu menyediakan penyelesaian dan nasihat sesuai dengan keperluan pusat pengajian/Jabatan/fakulti
- Mampu memodel tindakan e-pembelajaran dan penggunaan teknologi bagi menyediakan penyelesaian pengajaran & pembelajaran (P&P).
Tugas khusus seorang ELC
Seorang ELC adalah juga seorang mentor, pemotivasi, dan pengupaya kepada pensyarah lain dalam e-pembelajaran khususnya, dan P&P secara umum. Secara khusus tugas ELC boleh disenaraikan seperti berikut:
- Menyediakan garis panduan e-pembelajaran yang bersesuaian untuk program pengajian masing-masing;
- Membina hubungan dan rangkaian dengan pensyarah lain (di universiti lain) bagi menggalakkan pemindahan ilmu dan penerokaan teknologi baru berkaitan e-pembelajaran;
- Memabntu dekan atau ketua Jabatan di peringkat pusat pengajian/Jabatan/fakulti untuk membuat keputusan strategik bagi memastikan pelaksanaan e-pembelajaran dalam P&P berlaku;
- Mengadakan mekanisma untuk berkongsi maklumat berkenaan sumber/ilmu/kemahiran/alatan e-pembelajaran (termasuklah social network, blogs, show-case, mentor-mentee...);
- Berfungsi sebagai pegawai penghubung dengan pusat pengjaran-pembelajaran di universiti.
Amalan terbaik seorang ELC
- Bina pemahaman mendalam berkaitan e-pembelajaran dalam konteks kaedah P&P terkini.
- Selalu mencari dan mengusulkan penyelesaian P&P dengan e-pembelajaran yang sesuai dengan konteks bidang ilmu dan kemahiran semasa di pusat pengajian masing-masing.
- Memantau kesediaan pensyarah bagi melibatkan e-pembelajaran dalam amalan P&P
- Memindahkan ilmu dan kemahiran e-pembelajaran kepada kumpulan-kumpulan kecil
- Berfikir dan bertindak secara strategik bagi memastikan e-pembelajaran diaplikasikan dengan berkesan di peringkat pusat pengajian.
Petunjuk kejayaan (KPI)
- Terdapat perubahan sikap staf terhadap e-pembelajaran
- Ada bukti peningkatan penggunaan e-pembelajaran bagi pusat pengajian
- Ada penglibatan e-pembelajaran dalam pelan strategik untuk tingkat kualiti P&P di peringkat pusat pengajian.
- Ada mekanisma/laman web/blog/alatan/perisian khusus untuk berkongsi maklumat berkenaan kemahiran e-pembelajaran
- Kolokium e-pembelajaran dibuat sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Rajah 2: Ringkasan ciri, tugas, amalan terbaik dan KPI seorang ELC.